Asma Ul Husna :D

Selasa, 8 September 2015

KAEDAH FIQH 4 : KEMUDARATAN MESTI DIHILANGKAN




NUR ARSHILLA ATIQAH BINTI JASILI  27DUP14F2034

HASFARINA BINTI HASAN  27DUP14F2018

NORAFINI BINTI SABIRIN  27DUP14F2026

SHAFINIE BINTI SALLEH  27DUP14F2030

MUHD IZZUDDIN BIN KAMARULZAMAN  27EUP14F2002


KEMUDARATAN MESTI DIHILANGKAN 

Pengenalan: 

Syariat Islam ialah penutup segala syariat yang diturunkan oleh Allah S.W.T. Syariat Islam bersifat syumul, mudah serta sesuai diamalkan sepanjang masa dan di mana-mana sahaja. Antara ciri-ciri kesyumulan Islam ialah mampu menyelesaikan pelbagai soalan yang timbul dan dihadapi oleh manusia berdasarkan pelbagai pendekatan dan kaedah yang telah ditetapkan oleh syarak. Salah satu pendekatan yang digunakan oleh ulama Islam dalam menyelesaikan persoalan yang berlaku ialah kaedah Fiqh.

Pengertian Kaedah Fiqh:

Keadah Fiqh atau Fiqhiyyah merupakan gabungan dua perkataan Arab iaitu Qawaid dan Fiqhiyyah. Dari sudut bahasa, pengertian kaedah membawa maksud tapak,asas rumah dan prinsip. Fiqah pula membawa maksud suatu kefahaman iaitu memahami sesuatu perkara dengan mendalam dan terperinci.

Apabila kedua-dua perkataan ini digabungkan, maka kaedah Fiqh dapat diertikan sebagai suatu koleksi kaedah utama yang bersifat umum bagi menentukan sesuatu isu atau masalah, seperti dalam aspek ibadah,perkahwinan, perubatan, ekonomi dan sebagainya. Penentuan hukum-hukum ini pula akan ditentukan berdasarkan kaedah atau formula tertentu.
Pembentukan formula teras kaedah Fiqh adalah berlandaskan tiga sumber, iaitu Al-Quran,hadis dan pendapat para sahabat Rasulullah SAW yang rapat dengan baginda. Secara umumnya, ulama telah membahagikan kaedah Fiqh kepada dua bahagian yang utama, iaitu:
  1. Al-kuliyyah Al-Kubra - Kaedah yang disepakati oleh kebanyakan ulama yang merangkumi lima kaedah. Keistimewaannya boleh diaplikasi dalam semua bab Fiqh, bermula dari bab Taharah sehingga bab Jihad, dan dalam pelbagai bidang seperti sains dan teknologi,seni, perubatan, pelancongan, hospitaliti dan sebagainya.
  2. Kaedah Fiqh Al-Sughra - Himpunan sejumlah besar kaedah-kaedah Fiqh yang skop aplikasinya lebih kecil berbanding dengan kaedah Fiqh Al-Kuliyyah Al-Kubra.

Peranan Kaedah Fiqh dalam Bidang Pelancongan dan Hospitaliti:

Memudahkan pemahaman terhadap hukum yang digunakan dalam bidang pelancongan dan hospitaliti - Dengan adanya ilmu kaedah Fiqh, umat Islam dapat memahami hukum yang digunakan terhadap sesuatu perkara tanpa membabi buta. Penentangan dan pertikaian terhadap hukum yang lahir tidak akan timbul apabila masyarakat Islam memahami bahawa keselamatan akidah,nyawa,keturunan, akal dan harta adalah maqasid syariah yang perlu dijaga . Contohnya percampuran antara lelaki dan perempuan dikolam perlu diasingkan demi menjaga maruah manusia, terutamanya kaum wanita.

Sebagai Pendorong kepada umat Islam untuk membangunkan industri pelancongan dan hospitaliti-
Islam bukanlah agama yang sempit dan sukar, malahan islam ialah agama yang realistik. Dengan memahami ilmu kaedah Fiqh, daya kreativiti umat islam dapat dipupuk , khususnya dalam menyumbang kepada pembangunan industri pelancongan dan hospitaliti berlandaskan kepada pendekatan dan prinsip yang diredhai Allah S.W.T. Sebagai contoh, sumber alam digunakan untuk menghasilkan produk yang mampu menjadi tarikan pelancong seperti perabot, makanan dan pakaian serta melakukan pelbagai usaha ke arah menjaga kebersihan dan kesejahteraan alam seperti aktiviti riadah, penanaman semula pokok dan lain-lain lagi.


Pengertian:

Kaedah ini menjelaskan bahawa persoalan yang membawa kerosakan, kemudaratan atau bencana, sama ada yang melibatkan agama, nyawa, harta, keturunan mahupun maruah, hendaklah dihindari. Sekiranya terdapat dua kemudaratan dalam masa, perkara yang mempunyai kemudaratan yang lebih ringan atau rendah risikonya hendaklah menjadi pilihan dalam membuat keputusan. Begitu juga apabila berlaku mudarat terhadap seseorang, maka islam memberi penyelesaian dan keizinan kepada dirinya untuk menghilangkan kemudaratan tersebut dengan syarat tidak memudaratkan orang lain atau pihak lain.

Firman ALLAH SWT dalam surah Al-Baqarah  :

Yang bermaksud : 
" Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri ( kamu ) kemudian mereka ( hampir ) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka ( rujuk ) dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka ( rujuk semula dengan maksud memberi mudarat) " 
                                                                                                                      ( Surah al-Baqarah 2:231 )

Ayat di atas menjelaskan bahawa Islam membenarkan seorang suami yang telah menceraikan isterinya untuk merujuk kembali isteri yang diceraikan bukan  bertujuan untuk menyakiti atau sengaja mendera isterinya .

Firman-Nya lagi : 

Yang bermaksud : 
" Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah ALLAH menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan bedoalah kamu kepadaNya dengan persaan bimbang ( kalau-kalu tidak diterima ) dan juga dengan persaan yang terlalu mengharapkan ( supaya makbul ). SesungguhNya Rahmat ALLAH itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya."
  
                                                                                                                            ( Surah al-A'raf 7:56 )

Ayat di atas pula menjelaskan tentang petunjuk daripada ALLAH SWT kepada umat manusia keseluruhannya agar mengelakkan diri daripada melakukan kerosakan di muka bumi kerana tindakan ini memudaratkan pihak lain. Berkenaan dengan menghilangkan kemudaratan, Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud : 

"Tidak  ada kemudaratan dan tidak boleh berbuat kemudaratan ".
                                                                                                                 ( Hadis Riwayat Ibnu Majah )

Dalil-dalil di atas menerangkan bahawa islam mengharamkan segala tindakan yang boleh membawa kemudaratan sama ada terhadap diri sendiri, orang lain ataupun alam sekitar,walaupun atas alasan membalas dendam.


Aplikasi kaedah keempat dalam bidang pelancongan dan Hospitaliti 

Kaedah yang keempat ini boleh diaplikasikan dalam pelancongan dan hospitali seperti yang berikut:

1. Pemandu pelancong atau agensi yang terlibat dalam bidang pelancongan tidak dibenarkan membawa pelancong ke tempat yang berbahaya. Begitu juga pelancong, mereka tidak boleh meminta pemandu pelancong membawa mereka ke tempat yang boleh membahayakan nyawa pemandu pelancong.

2. Rumah penginapan, sama ada Chalet, homestay,hotel,motel atau yang seumpamanya, tidak boleh menyediakan makanan yang haram dan memudaratkan kepada tetamu.

3. Majikan rumah penginapan tidak boleh mengarahkan pekerja melakukan perbuatan yang berisiko terhadap akal, nyawa, agama, harta, maruah, dan keturunan pekerja atau pelanggan.

4. Kemudahan-kemudahan awam seperti tong sampah dan tandas awam dikawasan yang menjadi tumpuan ramai. Contohnya, tempat perkelahan supaya kebersihan dikawasan tersebut sentiasa terpelihara dan tidak tercemar sehingga memudaratkan manusia.

5. Pekerja rumah penginapan, tetamu dan pelancong mestilah menjaga etika berpakaian demi mengelakkan berlakunya kemudaratan seperti pencabulan hak, maruah dan keturunan sesama mereka.

RUMUSAN

Kesimpulannya, agama Islam adalah agama yang mudah. Islam memudahkan perkara yang kita anggap sebagai beban. Kaedah Fiqh yang keempat ini, kemudaratan mesti dihilangkan membuktikan bahawa Islam membantu kita untuk melakukan sesuatu pekerjaan dengan mudah. Islam menghalang kita melakukan sesuatu perkara yang mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri, orang lain dan alam sekitar. Kita hendaklah peka bahawa setiap apa yang ada dimuka bumi ini hanyalah pinjaman semata-mata daripada Allah S.W.T . Kita sebagai peminjam hendaklah memastikan bahawa kita menjaga apa yang kita pinjam daripada Allah S.W.T .


ARTIKEL

http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=521581&cat=tm

RUJUKAN :
BUKU PELANCONGAN DAN HOSPITALITI DALAM ISLAM
                       http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=521581&cat=tm